Isnin, 6 Disember 2010

Salam Maal Hijrah



Assalammualaikum wrt. wbt.,
Sebelum ini telah saya katakan bahawa masa terasa terlalu pantas berlalu. Bagi saya mungkin anda juga masih ada urusan yang belum sudah....tak selesai.
Apa yang pasti umur kita bertambah setiap minit dan akhirnya melewati tahun manambah setahun usia kita.



Lembayung Senja



Ya... Salam Maal Hijrah 1432.

Selamat menyambut Maal Hijrah buat semua sahabat pejuang daulah islamiyyah, pembaca yang budiman, pelanggan yang dihormati dan semua muslimin muslimat yang dirahmati Allah SWT.
Semoga dengan berakhirnya doa akhir tahun kita di penghujung tahun sebelum maghrib, Allah SWT memberkati usaha dan amal kita sepanjang tahun lalu. Dan begitu bermula doa awal tahun sejurus solat maghrib tadi, Allah SWT akan terus memayungi dengan memberi perlindungan dan rahmatnya berterusan kepada kita.
Alhamdulillah Ya Allah.... terimakasih Ya Allah,
Dengan izinMu.... kami masih berpeluang memperbaiki dan mengutip lagi bekalan untuk dipersembahkan kepadaMu nanti.
Semoga kedatangan hijrah ini kita akan bermuhasabah dan mempertingkatkan usaha amal kita. Dan jangan kita terlupa untuk turut mencegah kemungkaran (Nahi Mungkar) walau hanya berdetik di hati. InsyaAlllah. Yang baik itu dari Allah, yang lemah itu diri saya sendiri.






Khamis, 25 November 2010

Hikmah Sujud




Assalammualaikum wrt. wbt.,

Saya kalau mengemas buku dan majalah ambil masa sebab belek-belek dan akhirnya ulangbaca. Justeru itu ada saje bahan nak dibaca. Baru ni saya belek-belek Al-Islam keluaran Julai 2009 dan terasa banyak perkara perlu saya kongsikan walau ia bukan perkara baru atau lebih tepat saya undur kebelakang....tapi tak apa, InsyaAllah saya ada hasrat nak taip semula buat pengetahuan bersama namun ia mengikut masa yang saya ada.

Buat yang pertama dalam masa yang pendek ini saya turunkan di sini Hikmah Sujud.











Sujud kepada ALLAH MAHA ESA



* Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.

* Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

* Melegakan sakit hernia (burut).

* Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

* Melegakan paru-paru dari ketegangan.

* Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

* Kedudukan sujud adalah baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian
belakang tubuh.

* Meringankan bahagian pelvis.

* Memberi dorongan supaya mudah tidur.

* Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun
daripada sujud.

* Pergerakan otot menjadi lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan
perjalan darah yang baik.

* Bagi wanita pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk
menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

* Mengurangkan kegemukan.

* Pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke
tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.

* Organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

* Mengelakan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat
dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.






Sabtu, 20 November 2010

Masa berlalu terlalu pantas...Salam Eidul Adha




Mengorbankan lembu sebagai menurut perintah Allah dan mengingati pengorbanan
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.



Assalammualaikum wrt. wbt.

Terlalu pantas masa berlalu....
Tidak terasa masa berlalu walau benar-benar saya telah memenuhi setiap sudut masa....yang dirasai hingga kehujungnya hanya lelah yang amat namun banyak kerja belum sudah!
Begitu singkat masa yang pergi....saya masih gagal memenuhi apa yang telah saya jadualkan.


Saya telah membuat draf ucapan Eidul Adha pada hari Isnin bakal diterbitkan sebelum hariraya... akhirnya terpaksa delete aje. Walaubagaimanapun kita masih dalam suasana berhariraya... hari ini masih lagi dilaungkan takbir....salam eidul adha buat semua sahabat pejuang daulah Islamiyyah, peneroka blog, pelanggan dan semua muslimin dan muslimat.



15 November 2010
Pagi lagi saya telah menyiapkan cup cake untuk penghantaran baru di premis Petronas yang dijadualkan petang selepas asar. Kerja pembungkusan cepat siap kerana ada dua puteri saya membantu.

Sekembalinya suami dari sekolah dia memaklumkan ada kematian di qariah saya dan pengembumian akan disempurnakan selepas asar. Oleh kerana suami saya terlibat dalam urusan jenazah tersebut, penghantaran kek tersebut ditunda sebelah malamnya. Justeru masa yang singkat...tidak semua petronas saya pergi.




16 November 2010
Seawal pagi mengguruskan rumahtangga dengan penambahan persiapan hariraya amat membuat saya tak cukup masa. Jam 11.00 pagi rebusan nasi impit sempurna masak dan jam 12.00 7 biji kek coklat (3 saiz 9", 4 saiz 8") siap untuk dikeluarkan dari oven. Hari ini saya rasa amat penat, maklumlah dengan bertambah usia (tua) kederat dah kurang.

Menu hari ini ringkas je...ikan masak asam bersama bendi, ikan goreng dan sambal belacan (sambal belacan yang saya buat ni special....puteri kedua saya tu akan bawa bekal ke madrasah dan tumpangkan bekalan dalam peti sejuk ustazahnya....rasanya tak ada pelajar bawa bekal sambal belacan ke asrama..)

Usai solat zohor saya keluar menghantar sebahagian kek ke Petronas. Cuaca mendung diikuti dengan hujan yang lebat.... saya, suami dan dua puteri saya singgah solat asar di surau Taman Rashna, Klang.
Seusai solat saya terus ke perhentian bas Klang Central untuk mengambil puteri sulong saya. Terus selepas itu saya ke Az-Zain membeli barangan meehoon jenama Perda, mee Mak Siti, pucuk, jejari dan bebola ikan jenama Izzam, kerisik Liliy's , tepung gandum jenama Bidara dan air minuman Jaez.
Akhirnya saya singgah di NSK pasar borong beli sayuran.

Lewat petang...hampir ke maghrib kami tiba di rumah.
Suami saya bersiap terus ke masjid (itulah kelebihan lelaki....soal amal takde terganggu).
Saya sempat menanak nasi dan menggaram kunyit ayam untuk dibuat rendang. Selepas solat maghrib turun semula ke dapur..makan (suami ada khenduri) dan bersihkan perkakas akhirnya saya berkeputusan merendang esok pagi...call adik di Nusarhu..pesan padanya kalau bangun pagi tolong kejutkan jam 4.00 takut pulak telajak dibuai mimpi....suami nak bermalam dengan lembu-lembu syurga di masjid.
Saya naik ke tingkat atas solat isyak dan mengaji terus tidur...mengantuk betul rasanya malam ni.


Jam 1.00 pagi suami ketuk pintu bilik....baru balik dari masjid.
Suami masuk...saya terus sambung tidur (tak ingat dunia...mengantuk sangat).
Tiba-tiba....suami kejutkan saya suruh bangunkan anak-anak....katanya polis diluar rumah beritahu ada orang menceroboh di atas bumbung dideretan rumah kami.....
Ya Allah....terkejut betul saya...panik , kejutkan anak-anak. Saya sarung jubah berstokin dan cepat-cepat pakai tudung pun begitu juga puteri-puteri saya. Masing-masing dalam ketakutan dan menggelabah.... siap berpakaian kami keluar rumah...
Aduhai! ramai orang di luar.... masing-masing pegang kayu, polis pun ramai....suasana agak kelam kabut dan kedamaian malam tergugat....

Saya di maklumkan orang yang menceroboh itu telah jatuh ke dalam rumah selang sebuah dari rumah saya....saya lihat jiran saya itu gelisah di ambang tingkap bilik hadapan. Jiran saya itu ada seorang anak perempuan dan suaminya pula sedang bekerja. Penceroboh itu dalam keadaan berbogel tanpa seurat benang telah terjatuh di bahagian dapur rumah dan kedengaran suaranya bising tetapi saya tidak jelas butir katanya.

Jiran-jiran berlari sana-sini mengepung rumah.
Dalam keriuhan itu....polis menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh, diangkatnya pagar rumah yang berkunci....polis berjaya masuk ke perkarangan rumah (tempat letak kereta).......
Polis mengarahkan jiran saya turun untuk buka grill pintu masuk....tak tahu saya macam mana polis sudah menggari penceroboh di grill pintu. Polis suruh jiran saya jangan takut ...turun ambil kunci yang disangkutkan dekat dinding berhampiran pintu masuk....jiran saya tidak mahu mengikut arahan...(saya juga akan bertindak sedemikian...)

Jiran tetangga yang bersama menggunakan kayu yang dibawa mengait kunci dan akhirnya dapat dibuka grill pintu tersebut.....tidak lama selepas itu suami jiran saya pun balik...saya lihat dia keluar kereta dan bawa sebatang kayu terus masuk ke rumahnya....saya tidak dapat melihat suasana di rumah tersebut....saya duduk di bus stop sekolah betul-betul di hadapan rumah saya....hanya boleh dengar riuh suara je, itu pun tak jelas butirannya.


Akhirnya penceroboh tersebut dibawa masuk ke kereta polis, seterusnya hanya polis yang pasti akan tindakannya.


Saya sempat menziarah jiran dan melihat dapurnya yang berselerak dengan peralatan, bumbung yang bocor besar dan siling yang terburai.....kesian saya padanya...saya berbual memberi semangat....rupanya dia ada bertiga di dalam rumah. Menurutnya sepupu perempuannya selalu tidur di ruang tamu tapi sudah dua hari ni dia tidur dalam bilik di atas.... syukur Alhamdulillah jiran saya tidak diapa-apakan..... saya pulang ke rumah.

Di rumah anak-anak dah ketakutan... nak tidur dalam bilik ummi kata mereka. Akhirnya kami masuk tidur jam 2.45pagi. Alhamdulillah sehingga petang esoknya tidak hujan. Jiran saya selesai membaiki kerosakan rumah lewat petang.


Saya masih tidak tahu apa motif lelaki itu. Akibat kejadian itu saya tidak dapat menggunakan telefon selama dua hari kerana kerosakan. Selepas pihak telekom siasat rupanya wayer telefon di tiang itu sudah putus. Itu semua angkara penceroboh yang berlari di atas bumbung rumah saya. Alhamdulillah....maka hari ini barulah line telefon berfungsi.


Ini merupakan pengalaman yang mencemaskan dan pertama kali dalam hidup saya. Mudah-mudahan Allah memberi perlindungan dan rahmatNya kepada saya, keluarga dan semua jiran-jiran saya. InsyaAllah.



********************




Suasana dikhemah melapah daging korban...suasana ini hanya setahun sekali.
Semuanya kerana patuh pada perintah Allah.






Sabtu, 30 Oktober 2010

Makanan yang menjadi ubat



AIR ZAM ZAM

Rasulullah saw bersabda :

1. "Air yang paling baik dipermukaan bumi adalah Air Zam Zam. Ia mengandungi makanan yang bergizi dan menyembuhkan penyakit." (Hadis riwayat At Tirmizi)

2. "Zam Zam diberkati dan mengandungi makanan bergizi" (Hadis riwayat Muslim)

3. "Air Zam Zam sesuai dengan tujuan orang yang meminumnya." (Riwayat Ibnu Majah)
Manfaat meminum air Zam Zam adalah semasa kita meminumnya dengan niat dan doa. Berniat dan berdoalah bersungguh-sungguh.



BUAH TIN

Allah SWT berfirman :
"Demi Buah Tin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan negeri (Makkah) yang dijadikan aman....."
(Surah At Tin -1)

Antara manfaatnya adalah mengimbangi tekanan darah, merendahkan tahap kalestrol, membantu mencapai berat badan yang seimbang dan ideal, membantu mengatasi angin ahmar, mencegah penyakit kencing manis, memerangi penyakit kanser, mencegah serangan ghout, mencegah sembelit dan buasir.



MADU





Firman Allah SWT (Perintah Allah SWT kepada lebah) :
"Kemudian makanlah dari seegala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutilah jalan-jalan peraturan tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNYA kepadamu. Dengan itu keluarlah dari badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit)"
(Surah An-Nahl -69)



KURMA



Daripada Salman Ibn Amir, "Sesunggunya Rasulullah saw bersabda : Jika salah seorang di antara kamu hendak berbuka puasa, berbukalah dengan kurma sebab kurma itu barakah (berkat), kalau tidak ada maka dengan air kerana air itu bersih dan suci."
(Hadis riwayat Abu Daud dan At Tirmizi)

Masyarakat seluruh dunia kini mengiktiraf buah yang tahan lasak atas kemampuannya tumbuh di padang pasir dari timur Tengah Arab ini sebagai makanan wajib harian atas keberkesanannya dalam memberi tenaga, membantu memperkemaskan sistem fungsi tubuh dan otak.



BUAH ZAITUN

Rasulullah saw bersabda :
"Gunakanlah sari Zaitun sebagai lauk pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati."
(Riwayat At Tirmizi dan Ibn Majah)

Ia dipilih antara makanan yang banyak memberi menfaat bukan sahaja sebagai pengranti minyak dalam masakan, malah atas keberkesanannya mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang dianggap sebagai penyakit utama masa kini terbukti dengan pengalaman yang kerap.



HABBATUS SAUDA'

Rasulullah saw bersabda:
"Tetaplah kamu dengan Habbatus sauda' kerana padanya adalah penawar segala penyakit melainkan As Sam."
Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah itu As Sam?"
Baginda saw menjawab "As Sam itu adalah mati."
(Hadis riwayat Bukhari)

Menurut Dr Danial Zainal Abidin, hebatnya khasiat Habbatus Sauda' sebagai penawar ini sehingga ia merupakan batu asas dalam merawat pesakit AIDS dan kanser atau barah.



ZA'FFRAN

"Sesiapa yang mengambil Za'ffran tulen dan Su'dun satu bahagian dicampurkan dengan madu, diminum sebanyak dua misqal (sudu) pada setiap haari, dia dikagumi akan daya ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir."
Za'ffran juga dipercayai dapat mengatasi masalah usus, penyakit wabak kulit 'bubonic plague' dan cacar yang mana juga hasil ujukaji menunjukkan Za'ffran berpontensi sebagai anti kanser dan agen awet muda. Diantara manfaatnya ialah melancarkan sistem daya ingatan, melancarkan sistem darah dan saraf, meningkatkan daya tahan penyakit dari serangan bakteria.



BERUBAT DENGAN MINYAK WANGI KA'ABAH.

Sa'id bin Jubair meriwayatkan bahawa minyak wangi ka'abah boleh dijadikan ubat. Atha' berkata' "Jika salah seorang di antara kami hendak berubat dengan minyak wangi ka'abah, dia membawa minyak wangi sendri, lalu diusapkan pada Hajar Aswad kemudian mengambilnya.
" (Ibnu Shalah dalam mansak).

Hadis Rasulullah saw
"Seandainya tidak kerana Allah menetapkan rukun dari kotoran jahilliyah dan kekejiannya, tentu dengannnya dapat menyembuhkan segala macam penyakit."



BUAH SAFRAJIL

Dalam suatu lafaz disebutkan, "saya mendatangi Nabi saw ketika beliau sedang bersama dengan sekelompok sahabat dan ditangannya membawa buah safrajil yang dibalik. Ketika saya menghadapnya, beliau melemparkan buah itu kepadaku seraya bersabda, "Ambillah ini wahai Abu Dzarr, kerana ia dapat menguatkan hati, memperbaiki jiwa dan menghilangkan kotoran hati."
(Diriwayatkan An-Nasaa'i)



HALBA

Disebutkan dari Nabi saw bahawasanya beliau menjenguk Sa'ad bin Abi Waqqash ra. di Makkah seraya berkata, "Panggilkan tabib untuknya." Lalu Al-Harits bin Kaldah memanggilkan tabib dan memeriksanya seraya berkata, "Tidak apa-apa, buatkan ramuan untuknya, iaitu halba bercampur dengan kurma ajwah kering, dimasak dan dibuat bubur." Perintah itu pun dilaksanakan dan sembuhlah dia.





Khamis, 28 Oktober 2010

Mana Penghujungnya....






Suatu masa kan sampai jua .........

Seumpamanya........pun begitu kita sebagai makhluk.....
akur pada perintahNya......waktu itu pasti terpisah, keluar roh dari jasad......
tak mampu....disaat tiada pengucapan, kala tiada kudrat.....
tak mungkin dapat kita menahan.....sakaratulmaut......
aduhai! betapa ketika itu.....penanggungan......
detik itu kita keseorangan......dalam kesukaran.....? dalam ketenangan....?
sesungguhnya berbahagialah mereka yang mendapat perlindungan dan rahmat ALLAH SWT.





___________________________________________________________




12 BARISAN MANUSIA MENUJU AKHIRATBarisan Pertama

Didiringi dari kubur dalam keadaan tidak bertangan dan berkaki.
Keadaan ini dijelaskan melalui seruan Allah swt: "Mereka orang-orang yang menyakiti hati jiran sewaktu hidup mereka. Mereka sombong dan tidak berbuat kebaikan kepada jiran tetangga akan mendapat kehinaan di dunia mahupun di akhirat". Firman Allah lagi " Aku akan memalingkan hati orang yang sombong serta takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu yang menunjukkan kekuasaanKu), itulah balasan dan tempat kembali mereka adalah neraka".



Barisan Kedua
Diiringi dari kubur dalam bentuk babi hutan.Seruan Allah "Mereka orang yang meringan-ringankan solat sewaktu hidupnya, sesungguhnya orang yang memerlihara solat lima waktu akan dihindar dari seksa kubur sebaliknya orang yang mengabaikan solat maka waktu dia mati, mayatnya dihimpit oleh kiang lahat sehingga berselisih tulang rusuk"


Barisan Ketiga
Diiringi dari kubur dengan bentuk keldai dan perut penuh ular serta kala jengking."Mereka adalah orang yang enggan membayar zakat ketika hidupnya walaupun pada ketika itu mereka tergolong dalam orang yang berkemampuan." Inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.



Barisan Keempat

Diiringi dari kubur dalam keadaan darah memancut keluar dari mulut.
"Mereka adalah antara orang yang suka berdusta ketika berjual beli." Berniagalah dengan jujur serta amanah agar hasil yang diperolehi datang dari sumber yang halal.


Barisan Kelima
Diringi dari kubur dalam keadaan busuk seperti bangkai
Ketika itu Allah menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman padang masyar.
"Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka, takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula takut kepada Allah. Inilah balasannya dan tempat mereka juga adalah neraka."

Barisan Keenam

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala terputus dari badan.Mereka adalah orang yang dahulunya menjadi saksi palsu.


Barisan Ketujuh

Diiringi dari kubur tanpa lidah tetapi mengalir darah dan nanah dari mulut
Mereka adalah orang yang enggan memberi kesaksian kebenaran



Barisan Kelapan

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik, kepala ke bawah dan kaki ke atas.Mereka adalah yang melakukan zina. Tempat mereka adalah neraka.


Barisan Kesembilan
Diiringi dari kubur dengan wajah hitam dan bermata biru, sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.Mereka adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya.


Barisan Kesepuluh

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh berpenyakit sopak dan dipenuhi kusta.Mereka ini adalah orang yang derhaka kepada ibubapa sewaktu hidupnya.


Barisan Kesebelas


Diiringi dari kubur dalam keadaan buta, gigi panjang seperti tanduk lembu jantan, bibir terjuih hingga ke dada dan lidah terjulur hingga ke perut serta keluar pelbagai kotoran yang menjijikan.
Mereka ini adalah orang yang minim arak sewaktu hidupnya.


Barisan Keduabelas

Diiringi dari kubur dengan wajah bersinar-sinar seperti bulan purnama. Mereka melalui Titian Siratul Mustakim seperti Kilat.Datang suara sisi Allah yang memaklumkan "Mereka semasa hidupnya adalah beramal soleh dan melakukan kebaikkan. Mereka juga menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat lima
waktu dan meninggalkan dunia dalam keadaan bertaubat. Inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah syurga, beroleh keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah swt."






Sabtu, 9 Oktober 2010

Macam Tak Percaya..... Bertemu Selepas 25tahun



Assalammualaikum wrt. bt.

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...Allah SWT juga Maha Merancang lagi Maha Perlaksana. Ya... syukur Alhamdulillah dengan izinNya jua, pada hari Sabtu 09 Oktober 2010, jam 4.00 petang saya dipertemukan kembali sahabat persekolahan yang terpisah 25tahun yang lalu.


Saya kagum dengan sahabat yang berusaha, Norazah (azah) dan Norfisah (fee) dalam menyulam-jalin silaturrahim dan tentunya saya berterimakasih atas sokongan dan kerjasama suami mereka dalam usaha menjejaki bekas pelajar Sekolah Menengah Petaling. Tahniah atas usaha azah , fee dan sahabat yang lain." Kalian adalah sebahagian dari diri ros masa lalu, tetap mesra dalam ingatan dan kini ia akan berterusan mekar dalam roh ukhuwah Islamiyyah."


Saya amat terharu dan amat gembira dapat bersua muka dengan azah dan fee. Sesungguhnya fee dan azah dilimpahi kasih dan sayang.....mulai bertemu Norlela Ali di Taman Tasik Shah Alam kemudian menziarahi ayah Haliza Hamzah di PPUM Petaling Jaya dan kembali semula ke Shah Alam mengunjungi saya....malah mereka sampai ketika saya belum pulang ke rumah (saya ada urusan di Semenyih - namun sebelum saya ke Semenyih, selepas subuh saya siap memasakkan hidangnan buat sahabat yang saya rindui dan nantikan itu)

Terimakasih Fee...Terimakasih Azah.... InsyaAllah ganjaran buat Fee dan Azah.....


Rasulullah saw bersabda :


" Barangsiapa memberikan kegembiraan dipandangan seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan dipandangan matanya pada hari kiamat. "
(Diriwayatkan oleh Ibnul Mubarak)



" Apabila seseorang muslim meninjau saudaranya yang sakit atau berziarah (secara biasa), maka Allah Ta'ala berfirman : "Engkau baik benar hatimu, baik pula perjalananmu dan engkau dapat menempati suatu gedung dalam syurga".
(Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah)



Pembaca Budiman....
Bukan mudah untuk memperuntukkan masa pada hujung minggu dalam keadaan status isteri yang punya pelbagai urusan wajib dan harus, namun inilah nilai cinta persaudaraan islam jua tahap tingkat keimanan.


Rasulullah bersabda :
"Tidaklah sempurna keimanan seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)



Untuk Fee dan Azah....
"Ros berdoa semoga kalian berdua senantiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah SWT. InsyaAllah."


Terimakasih padaMu Ya Allah...Alhamdulillah.


indahnya
pertemuan....







Rabu, 22 September 2010

Eidul Fitri

Assalammualaikum wrt. wbrt.
Lama sungguh tak menulis blog...ramadhan memang terasa pendek tak cukup masa untuk melayan diri apalagi membelek blog. Mudah-mudahan segala amal kebajikan kita di bulan yang mulia itu mendapat keberkatan Allah swt.

Mungkin agak lambat namun saya mengambil kesempatan di syawal yang mulia ini menyusun jari mohon ampun dan maaf di atas salah bicara kasar bahasa dan menyinggung hati tanpa sedar kepada semua sahabat pejuang daulah Islamiyah, pelanggan-pelanggan setia memberi sokongan, pembaca dan peneroka blog, muslimin dan muslimat sekalian. Maafkan saya. Terimakasih.

Seperti biasa saya sambut lebaran kadar sederhana. Sejak pemergian insan istemewa ayahanda tersayang 3 tahun yang lalu (4 kali hari raya), hari raya pertama (sudah 4 kali) saya sekeluarga menyambut hari raya di rumah sendiri bersama bonda. Hari raya kedua saya balik ke kampung suami di Hutan Melintang dan menziarah semua orang tua yang masih ada. Kami menginap di cahalet (dah 6tahun) sejak kedua ibubapa mentua saya meninggal dunia dan rumah pusaka tidak berpenghuni.

Kini rumah pusaka telah tiada yang ada hanyalah gambar dalam simpanan.






Rumah pusaka: gambar di ambil pd tahun 2008 kelihatan uzur dan sudah dinaiki anai-anai.
Bilik air di sisi kiri rumah sudah lenyap..tak tahu bila roboh/di roboh..

Raya ke 4 saya ke Sabak Bernam meziarahi sepupu-sepupu saya. Tahun ini kami menambah koleksi rumah yang di ziarahi. Peluang ini kami ambil memandangkan sudah ramai orang-orang tua meninggal dan list rumah yang wajib diziarahi telah berkurangan.
Malam terakhir(tak ada dlm plan) kami bermalam di Sri Manjung (rumah adik suami). Pagi Selasa (raya ke 5) kami berangkat pulang. Sepanjang pejalanan pulang ke Shah Alam kami menyinggah-nyinggah lagi sehingga yang terakhir di Tanjung Karang.
Plan nak meneroka Klang dibatalkan bila suami tercinta dah terlelap-lelap memandu. Alhamdullilah perjalanan lancar tiada jam dan kami selamat sampai ke rumah jam 6.30 petang.









Jumaat, 13 Ogos 2010

Kerana Tidak Takut Allah SWT










Assalammualaikum wrt. wbt.,

Perkembangan muktahir ini memperlihatkan kerapuhan iman remaja dan kian membuktikan sikap berani sama sekali tidak takut kepada Allah SWT. Apa yang terjadi memperlihatkan juga satu pendekatkan perlu diambil dalam menangani masalah sosial yang kian mengembang dan membusukkan agama Islam. Mahukah kita hari-hari membaca berita akhbar, mendengar berita di media elektronik kisahnya....pembuangan bayi, tangkap khalwat, perogolan, pencabulan, pembunuhan dan macam-macam cerita yang berkaitan akhlak.

Saya ingin menyentuh isu pembuangan bayi. Berturut-turut hari... Selasa (10 Ogos), Rabu dan Khamis.. berita pembuangan bayi dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian. Hari Isnin sahaja 3 kes! Amat sedih apabila menatap gambar bayi yang tak berdosa. Sungguh tidak ada ikhsan kepada yang terlibat sehingg akhbar tersebut melabelkan dengan tajuk besar "HATI IBLIS".

Apa sebenarnya yang dicari oleh pelaku kesalahan tersebut? Bukan tidak diketahui kesan keseronokan yang mereka perbuat itu mengundang rasiko? Akhirnya bayi yang tak berdosa ditong sampahkan, dicampakkan, ditanam (tak tahulah samada bayi masih hidup), dibakar, disangkut pada pagar masjid, ditinggalkan di laman rumah dan bermacam lagi kaedah yang kita tak terfikir akan mereka lakukan untuk melenyapkan satu nyawa yang tak berdosa.


Apakah jalan penyelesaian pada masalah ini?

Saya ingin mengingati diri saya sendiri dan menyeru ibubapa muslim, didiklah anak-anak sedari kecil dengan memenuhi keperluan rohani mereka bukan memenuhi keperluan fizikal dan material semata. Jangan kita bergantung harap pada guru agama di sekolah sebaliknya kita bekalkan pengetahuan tauhid, fekah dan tasawuf yang berfungsi sebagai benteng dan memantapkan iman anak-anak. Usahlah kita redha dengan aktiviti luar mereka yang tidak kita ketahui. Sesungguhnya ketika ini suasana di luar adalah senantiasa tidak selamat. Sebaiknya kita sendiri rencanakan aktiviti keluarga sesuai dengan kehendak mereka dan syarie.

Anak-anak senantiasa perlu bimbingan hatta setelah mereka berkeluarga. Justeru itu selagi kita bernyawa anak-anak senantiasa berada dalam mata, hati dan fikiran kita. Tiada masa bukan alasan untuk membiarkan anak-anak bebas dan menentu arah sendirian. Selain itu kita ibubapa hendaklah memastikan sumber makanan yang menjadi kekuatan dan darah daging kita. Semua perkara hendakalah kita titik beratkan sesuai dengan tuntutan syarak. Sebagai ibubapa kita kena bersedia untuk penghakiman Allah SWT atas urusan terhadap anak-anak kita.

Firman Allah dalam Al-Quran :

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka."
Surah At-Tahrim : 6

"Allah telah mewasiatkan keatas kamu tentang anak-anak kamu."
Surah An-Nisa' : 11

"Dan hendaklah kamu menyuruh keluargamu mengerjakan sembahyang dan bersabarlah terhadap perintah itu."
Surah Thaha :132

"Dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu kerjakan."
Surah An-Nahl :93


Rasullullah saw Bersabda :

"Seseorang lelaki itu bertanggungjawab terhadap isterinya, dan dia akan ditanya tentang tanggungjawabnya. Dan seorang perempuan itu bertanggungjawab terhadap rumah suaminya, Dan dia akan ditanya tentang tanggungjawabnya."
Riwayat Bukhari Dan Muslim.

"Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibubapanyalah yang meyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya."
Riwayat Al-Bukhari.

"Lengkapkanlah anak-anak kamu dengan tiga perkara : Cinta terhadap nabi kamu, Cinta terhadap ahli rumahtangganya, dan selalu membaca Al-Quran."
Riwayat Ath-Thabarani.


"Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia."
Riwayat At-Termidzi.

"Seandai seorang lelaki itu dapat mengajar anaknya, adlah lebih utama daripada dia bersedekah dengan satu sha'."
Riwayat At-Termidzi.


Kepada semua remaja, muslimin dan muslimat, berpeganglah pada ayat-ayat Allah SWT yang banyak memberi garis panduan dan janganlah kita terpedaya dengan hasutan syaitan. Perhatikan Surah An-Nur ayat 30 & 31 (sila rujuk pada catatan  Dari Matatulisan saya pada Khamis - 22 Julai 2010). Ayat ini cukup untuk hati yang takut pada Allah SWT, tidak akan berbuat maksiat kepada Allah SWT sekiranya ia benar-benar beriman.

Telitikan lagi ayat di bawah ....

"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh melakukan perkara yang keji dan mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurniaan Allah dan rahmatnya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosanya selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
Surah An-Nur : 21


Di samping itu hendaklah ke majlis-majlis agama, kuliah, forum dan sudah tentunya bagi lelaki hendaklah berjemaah. Semua usaha ke arah memantapkan iman perlu kita cari sendiri dan Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita jika kita benar-benar ingin mencari keredhaanNya. InsyaAllah semuanya akan kembali kepada kita dalam suatu natijah yang baik.

"Orang Yang Berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memahami kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (petolongan dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha membaiki amalannya."
Surah Al-Ankabut : 69.



Kepada Pemerintah atau Kerajaan juga Jabatan Agama Islam, kes pembuangan bayi harus diselesaikan dengan kadar segera. Mereka punya kuasa dan mustahil tiada jalan penyelesaian jika mereka merujuk AL-Quran. Allah SWT menegaskan dalam FirmanNya :

"Telah sempurnalah kalimah Tuhanmu ( Al-Quran meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya ), dengan benar-benar dan adil, tiada yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya. dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Surah Al-An'am : 115

Lihat lagi penegasan Allah SWT pada ayat di bawah ini :

"Ini satu "surah" yang kami turunkan dan kami wajibkan hukum hakamnya serta kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata. Semoga kamu mengambil peringatan.".
Surah An-Nur : 1

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya 100 kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman."
Surah An-Nur : 2

"Dan berilah amaran dengan A-Quran kepada orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka seorang perlindung dan tidak juga pemberi syafa'at selain daripada Allah agar mereka bertaqwa."
Surah Al-An'am : 51


Apalagi yang perlu ditunggu-tunggu! KERAJAAN WAJIB menguatkuasakan undang-undang Islam Hudud, insyaAllah perkara tersebut di atas dapat dibendung. Kalau kerajaan masih lagi tak mahu menggunapakai wahyu Allah maka tunggulah akan ada yang berani yang tidak takutkan Allah apalagi kerajaan akan berbuat maksiat yang lebih besar lagi dan buruk natijahnya akan menimpa umat Islam keseluruhannya.

Laagi Firman Allah SWT :


"Orang yang mendustakan ayat-ayat kami adalah pekak dan bisu serta berada di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki, nescaya akan disesatkanNya (menurut ketetapanNya) dan sesiapa yang dikehendakiNya nescaya Dia akan menjadikannya berada di atas jalan yang lurus."
Surah Al-An'am : 39


"Dan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, mereka akan ditimpa azab disebabkan mereka selalu berbuat fasiq."
Surah Al-An'am : 49

"Kemudian apabila mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami pun melimpahkan semua pintu kemewahan dan kesenangan kepada mereka sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."
Surah Al-An'am : 44


Kesimpulannya Al-Quran dan sifat takutkan Allah SWT adalah kunci penyelesaian.  




     






Yang baik itu dari Allah SWT dan yang lemah itu diri saya sendiri. Wallahu'alam.





Khamis, 5 Ogos 2010

Syaaban berakhir Ramadhan bermula








Assalammualaikum wrt.wbt.

15 syaaban yang lalu semua umat Islam berebut-berebut untuk menggapai kejayaan dalam nisfu syaaban yang dijanjikan fadhilat dan kebajikan yang luas oleh Allah SWT.
Sehari selepas nisfu syaaban, sepupu saya di Kanada menghubungi saya, katanya..."kak ngah, kat sini malam nisfu syabaan tu... orang solat gila-gila..... tak macam orang di Malaysia. Mereka betul-betul rebut peluang malam tu.." Begitulah adanya keinginan kita dalam menambah catatan di sebelah bahu kanan kita. InsyaAllah.

Saya suka mengutip kata-kata sepupu yang berada di Kanada dalam emailnya kepada saya....

"Perjalanan kita di dunia tidak menjanjikan apa-apa melainkan dosa dan pahala."

Benar....matlamat kita bukan di sini. Justeru itu untuk satu tempat yang hakiki, di sini kita harus mencari keredhaan Allah SWT.

Kini Syaaban telah pun berakhir dan kita semua umat Islam memulai Ramadhan yang penuh nikmat dan berkat. Kepada semua diucapkan selamat berpuasa dan menghayati Ramadhan Al-Mubarak dengan penuh kesyukuran. Mudah-mudahan segala urusan kita dipermudahkan dan dikira segala pekerjaan kita dalam redhaNYA. InsyaAllah.






Perjalanan ke Sungai Besar

Assalammualaikum wrt. wbt.

Semoga semua dibawah perlindungan dan rahmat Allah SWT.

Dalam pengisian hidup seharian yang membuat saya merasai hari begitu pantas berlalu dan terasa betapa masa tidak mencukupi tetap juga saya menerusi tanpa banyak persoalan dan memenuhi dengan keutamaan juga mengembangkan dada dalam kesyukuran.

16 Julai, 24,25 Julai dan 1 Ogos saya turun naik ke Sungai Besar.

16 Julai hari Interaksi IbuBapa Guru di sekolah puteri sulung saya. Inilah tanggungjawab ibubapa yang tidak boleh diringankan. Ini adalah tahun terakhir pertemuan kami dengan guru kelas puteri kami. Sepanjang 5 tahun puteri saya di SAMTAJ tahun lepas kami gagal menghadiri sessi ini kerana sekolah suami saya juga mengadakan sessi pertemuan ibubapaguru di hari yang sama. Namun saya tidak mengabaikan sessi tersebut dan memohon kerjasama sahabat saya (Pn Azizah) mewakili kami untuk mengambil laporan pelajar. Buat kak Zah jasamu kukenang......jazakallahu kahiran katsiran.





Hari Pertemuan ibubapa 'Interaksi - Tautan Kasih' pada 16 Julai 2010.
 Berbincang dengan Pn. Laili berkaitan laporan prestasi pelajaran puteri kami.


Saya dan suami bertolak dari Shah Alam ke Sungai Besar jam 5.00 pagi. Kami solat di Meru, sarapan di Kuala Selangor. Kami sampai ke distinasi sebelum jam 8.00pagi....dapatlah giliran no. 1. Sebagai ibubapa kami mendoakan kebaikan untuk anak-anak, yang penting semua urusan diberkati Allah SWT. Sesungguhnya hanya Allah SWT Maha Bijaksana.





Selesai perbincangan..... 
adalah buah tangan diberikan, satu cup cake dan sekotak air... 
sedap kek tu, kata puteri saya cikgunya buat.


Saya ingin mengucapkan penghargaan di atas segala perhatian dan kerjasama guru-guru yang mengajar di SAMTAJ khususnya buat yang mengajar puteri saya nur masyitah...terimakasih cikgu. Semoga Allah SWT menganugerahkan sebaik-baik ganjaran buat kalian. Jazakalahu Khairan Katsiran.



*********




24 Julai selepas siap memasak jam 7.30 pagi saya ke SgBesar, membawa pulang puteri kedua yang berlajar di Maahad Tahfiz Ummul Qura Sg. air Tawar. Kelasnya berakhir jam 11.30 terus kami kembali ke asrama puteri sulong saya, menghantarkan bekalan dan kek ulangtahunnya yang ke 17 dan terus kembali ke Shah Alam. Singgah sana-sini beli keperluan dapur dan barang asrama anak-anak, jam 4.00 petang sampai ke rumah....
25 Julai jam 3.30 petang (hujan agak lebat) saya sekeluarga bertolak ke Sungai Besar menghantar kembali puteri ke madrasah. Sangat singkat masa puteri saya di rumah namun inilah hakikat menuntut ilmu ada disiplin dan akhlak yang perlu dipatuhi. Jam 6.45 petang sampai di madrasah (masih hujan).

Selepas solat di masjid pekan Sg. Besar, saya singgah ke rumah Kak ngah (dikenali sebagai kak ngah bendang - sepupu suami). Ini biasa kami lakukan bila ada kesempatan. Hari itu singgah untuk berikan kek coklat yang dia minat...ambil resipi tapi tak buat-buat. Kak ngah menjemput
kami untuk majlis kenduri arwah dan kesyukuran (anak arwah kak yong sambung belajar ke Mesir). ......aduhai...minggu depan naik lagilah ke Sg. Besar. Sampai di Shah Alam jam12.00 malam.

*********


1 Ogos jam 7.30 pagi hantar tempahan kek ulangtahun ke rumah Pn Norsidah dan terus bertolak ke Sungai Besar. Sampai di rumah kak ngah jam 9.30, berikan kek. Kami ke madrasah ambil puteri kedua dan singgah beli keperluan sekolah. Hantar barangan kepada puteri sulung. Kembali semula ke rumah kak ngah. Kami beredar jam 1.20 terus ke masjid.

Selepas tu kami ke Hutan Melintang ziarahi pusara ibubapa suami saya. Jam 3.30 singgah di rumah Nyah (kakak suami) tapi dia tiada di rumah, anak-anaknya yang ada. Kami ke masjid pekan Sg. Besar, puteri kedua solat asar. Usai solat kami hantar puteri kami ke madrasah. Kami kembali ke masjid untuk solat magrib (jamak). Kemudian kami bertolak ke Shah Alam, singgah makan di Sekinchan dan akhirnya sampai ke rumah jam 11 malam.

Begitulah... apabila telah bekeluarga aktiviti kita padat dan tidak menentu. Ada saje keperluan yang perlu diberi perhatian dan diutamakan.







Khamis, 22 Julai 2010

Dari Mata


Assalammualaikum wrt.wbt.


Dalam diam mari kita renungi kata mutiara dan yang utama kita beri perhatian dan tindakan atas wahyu Allah SWT iaitu kitab yang mulia Al-Quran.

"Biar buruk di mata orang tapi indah di mata Allah, tapi tentu lebih bagus kalau indah di mata Allah juga indah di mata orang"

"Penglihatan itu sebagai panah iblis yang berbisa, maka siapa yang mengelakkannya kerana takut padaKu, maka Aku akan menggantikannya dengan iman yang dirasakan manisnya dalam hatinya"

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram). Demikian itu lebih suci (lebih baik) bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNYA tentang apa yang mereka kerjakan (melalui penglihatan dan kemaluan mereka)"
Surah An-Nur : 30

"Dan katakanlah kepada wanita wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (wajah dan kedua-dua tapak tangan) dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara meeka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman agar kamu berjaya."
Surah An-Nur : 31


Memahami ayat di atas amat penting bagi mereka yang beriman. Dan sesungguhnya bagi mereka yang beriman tidaklah ia sukar untuk dipatuhi akan perintah Allah SWT ini.

Pada pandangan saya orang lelaki beriman dan wanita beriman akan saling bantu-membantu agar perintah Allah SWT ini dapat dipatuhi dan mereka beroleh kejayaan seperti yang telah AllahSWT janjikan.

Menundukkan pandangan amat sukar pada hati yang tidak punyai perasan takut kepada Allah SWT dan ingin 'mengalami dan merasai' semua kenikmatan dunia tanpa satu pun yang terlepas. Justeru itu tidak hairanlah sekiranya ada didengari suara wanita yang tidak mahu menutup aurat dengan alasan 'belum sampai seru' atau katanya 'pakai tudung ni kena dengan hati yang ikhlas tanpa paksaan' dan atas tindakan wanita ini adalah pula kedengaran sebahagian suara nakal lelaki yang mengatakan 'dah nampak tu pandanglah....rezeki' atau 'sekali pandang tak apa..'

Sekiranya kita memahami ayat di atas, ia adalah suatu perintah Allah. Pabila seorang wanita itu telah mengetahui (sebelumnya ia tidak mengetahui) akan perintah Allah SWT ini, maka tidak timbul soal 'seru' atau apa sahaja alasan yang mengecualikannya dari mematuhi perintah Allah
SWT ini kerana hukumya wajib.

Dan kepada lelaki janganlah menganggap seorang wanita itu ketinggalan zaman (tak up to date) jika ia mengubah penampilan, lebih-lebih lagi jika seseorang itu berpurdah. Seharusnya kaum lelaki bersyukur kerana pandangan mereka telah terpelihara dengan bantuan wanita-wanita yang menutup aurat. Kaum lelaki seharusnya memberi peringatan pada diri sendiri dan ahli keluarga akan perintah Allah ini untuk dilaksanakan tanpa sebarang alasan.

Sebenarnya jika semua memahami dan melaksanakan perintah Allah SWT ini nescaya masalah sosial (kebejatan akhlak) tidak timbul. Masalah sosial ini adalah berpunca dari lelaki dan wanita yang tidak menahan pandangan mereka. Melalui pandangan mata akan menimbulkan nafsu seterusnya membuka keinginan berbuat maksiat, melanggar perintah Allah SWT. Kegagalan mematuhi perintah Allah SWT ini, menerbitkan beribu permasalahan dan menambah catatan dosa seseorang.

Namun apa yang telah berlaku dan atas apa sahaja perbuatan ingkar kita, usah kita bebani di pemikiran kerana Allah SWT telah menyediakan jalan penyelesaian. Berbahagianya kita umat Muhammad saw kerana kita diberi Allah SWT suatu kenikmatan iaitu TAUBAT. Melalui taubat lahirkanlah keazaman dan kesungguhan kita untuk terus meninggalkan segala larangan dan mematuhi segala perintah Allah SWT.

Sesungguhnya ALLAH SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Yang baik itu dari Allah SWT dan yang lemah itu diri saya sendiri.
Wallahu'alam.






Rabu, 21 Julai 2010

Macam Macam Hal


Di Malaysia Assalammualaikum wrt. wbt..

Pagi tadi lepas ngaji (ada sikit lagi untuk khatam buat hadiah ayahanda tercinta allayarham Haji Mahmood b Mat Dahan), saya layanlah blog ni....maklumlah blog baru dibina dan yang membinanya pulak tak pandai mana...jadi kenalah perbetul sana, tukar sini.... internet pula meragam macam petang semalam....dah siap taip, bila nak terbitkan line putus, aduhi.....penatnya menaip!

Sedang asyik membelek blog...telefon bedering....ayu adik sepupu susuan call dari Kanada...apalagi kalau kami berbual memang panjang...lebih sejam, tapi takpe ayu yang call. Kalau saya call dia, 3 minit yang pertama rm7.70, minit yang seterusnya rm0.90....tapi saya call minit yang pertama tu aje....

Ada kemusykilan tentang solat sunat rawatib dan witir....cara orang kat sana tak sama macam kita katanya.... saya nasihatkan kalau solat fardhu berjemaah, ikut aje imam tu. Kalau sunat atau sendirian ikutlah sunnah wajamaah berpegang pada imam syafie.

Kata ayu...ada imam tu baca doa dan pegang kepala seorang wanita yang sakit kepala dan tapak tangannya kena pada kulit dahi wanita tersebut....lepas tu imam tu solat tanpa mengambil wuduk semula...
Kaum wanitanya solat dengan berpakaian biasa sahaja.
Ada pulak wanita yang dilihatnya solat tapi nampak rambut....

Ayu beritahu orang kat sana kata dia wahabi....tapi ayu beritahu mereka ....ayu sunni.

Kata mereka, ayu street sangat...setiap kali solat ayu berwuduk bebeza dengan mereka sekadar berkumur-kumur aje...juga terdapat perkara seumpama ini kerana kemasukkan wargaasing sama ada yang dijemput atau yang tak dijemput (pati). Malah ada rakyat Malaysia sendiri yang berbeza cara ibadahnya. Sesiapa yang rajin ke masjid tentu dapat melihat kelainan dari kebiasaan. Sekiranya di sekitar yang ramai wargaasing muslim, lagilah kelainan-kelainan yang amat ketara dapat dilihat.

Saya pernah singgah bersolat zohor di sebuah masjid dalam perjalanan menghantar anak pulang ke asrama. Kebetulan ada sekumpulan muslim (bukan melayu, bukan cina) turut bersolat. Wanita-wanita ini solat tidak pakai telekung sekadar selendang yang dipakai....
kelihatanlah rambut yang panjang dari selendang dan tapak kaki mereka. Ada seorang jemaah yang sama solat dengan saya kata...mereka mahzab lain ni...

Terlanjur sebut pasal masjid, ingin saya sentuh bab susunan saf wanita. Saya amat kecewa melihat ramai muslimat kita tidak menjaga saf ketika berjemaah.
Biasanya sebelum solat terutama di masjid-masjid sepanjang perjalanan, barisan saf saya sempurna kalau ada kanak-kanak kami (yang berjemaah) susun aturkan. Masalahnya ialah diwaktu kita sedang solat.......jemaah baru masuk, itu yang susah kalau mereka tak jaga saf.... itulah yang jadi.... selepas usai solat, saya dapat kesan....
Ada penambahan bilangan jemaah dalam saf.
Ada yang lambat datang...tak masuk saf tapi ikut imam (berjemaah) .
Ada tu dah lambat bawa anak(5-6th)....sebaris dengan jemaah.... bila datang muslimat lain sambung saf....

Pernah tu...saya solat, ada dua saf...saya di tepi kanan diikuti anak saya yang dah baligh...lepas solat, saya lihat ada makcik sebaris saf saya tapi putus....sama-sama beri salam dan berdoa.
Lepas solat, saya beranikan diri tanya makcik tu... niat berjemaah ke.... dan seterusnya....sessi peneranganlah pulak....

Saya amat berharap semua muslimat memberi perhatian kepada susunan saf solat dan memberi tunjuk ajar pada anak-anak kecil kita. InsyaAllah sama-sama kita mencari keredhaan Allah

Berbalik pada cerita adik pupu saya itu.....
Sebenarnya di mana-mana di muka bumi ini kita berkiblat yang sama namun perlaksanaan ada yang berbeza maklumlah kita punyai beberapa mahzab dan tentu sahaja ada ketidaksamaan dalam perlaksanaan atau amalan ibadah kita. Justeru itu kita kena yakin dan beramal dengan ilmu yang kita ada. Untuk itu juga kita kena senantiasa menuntut ilmu agar kita berkeupayaan dan mantap ibadah kita.

ok.. yang baik itu datang dari Allah SWT, yang lemah itu diri saya sendiri.
Wallahualam....









Ahad, 27 Jun 2010

Boycott Israel



Assalammualaikum wrt. wbt..
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti mana ia mencintai dirinya sendiri"

Prihatinkah kita dengan saudara seislam kita......
Sebenarnya benar kata pepatah melayu "hangat-hangat tahi ayam..."
Ada gula adalah semut......ada isu mulut berkemut.....
lepas itu.... hahaha.... hidup perlu diteruskan (tiada kelangsungan....sedih, hiba, marah kita kejap je...)


Justeru itu saya mengajak diri saya dan semua saudara islam agar terus menerus dan berprinsip melahirkan cinta dan kasih sayang kepada saudara islam yang teraniaya di bumi sendiri terutama warga Palestin.

Hancur Israel! Hancur Israel! Hancur Israel!




ISRAEL LAKNATULLAH

"..Mereka ditimpa kehinaan dan kepapaan. Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNYA), dan mereka juga membunuh nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh." ...Al-Baqarah
Sehubungan dengan ini marilah kita istiqamah dalam urusan harian kita termasuk menyahkan senarai produk-produk Israel keluar dari rumah kita dan janganlah kita sekali lagi membawa masuk ia ke dalam rumah.
Gunakanlah produk muslim terutama yang dibuat oleh negara kita sendiri iaitu Malaysia atau negara sudara Islam kita yang lain.