Jumaat, 31 Mei 2013

Kehidupan Dunia...




  
Firman Allah SWT yang maksudnya :

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semua itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu  bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan Akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya"
 (surah Al-Hadid : 20)





Rasulullah s.a.w bersabda :

"Kamu di dunia ini ibarat tetamu, maka jadikanlah masjid menjadi rumahmu sehingga nanti hatimu lembut. Perbanyakkanlah takafur dan menangis serta janganlah kamu bertengkar menuruti nafsumu.  Mereka membina bangunan yang tidak akan mereka alami, mengumpulkan kekayaan yang tidak akan mereka makan dan mereka berangan-angan dalam perkara yang tidak akan diperolehi."
                                                                                                                       (Hadis Riwayat Abu Na'im)




~ matlamat kehidupan mencari keredhaan Allah Swt~


Ahad, 26 Mei 2013

Malu Kepada ALLAH SWT




     Nabi Muhammad saw mengamanahkan Sa'labah Bin Abdul Rahman Al-Ansori membuat tugasan di luar daerah.  Dalam perjalanan ke sana Sa'labah ternampak aurat seorang wanita sedang mandi, dia melihat sebanyak tiga kali, barulah dia tersedar.  Segera dia beristigfar dan berasa malu kepada ALLAH SWT.  Sa'labah menyembunyikan diri ke kawasan pergunungan menyebabkan Nabi saw tercari-cari.

     40 hari berlalu, Nabi mengarahkan sahabatnya mencari Sa'labah.  Umar dan Salman menemui Sa'labah, Nabi s.a.w bertanya apa yang berlaku.  Dalam keadaan malu, Sa'labah bercerita.  Nabi s.a.w berkata "Kamu nak tahu aku ajarkan satu doa yang dapat memadam dosa yang lalu?" jawab Sa'labah "sudah pasti, Ya Rasulullah".  Lalu Nabi saw mengajarkan doa "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar", seperti dipetik daripada ayat 201, surah A-Baqarah.
Sa'labah berkata, Tetapi dosaku besar sungguh".  Nabi s.a.w berkata "Ayat ALLAH SWT lebih besar".  Sa'labah mengamalkan doa itu, tetapi hatinya masih tidak tenang.  Dia menangis siang dan malam sehinggalah jatuh sakit.

     Ketika melawatnya, Rasulullah s.a.w meletakkan kepala Sa'labah diribaannya, tetapi Sa'labah mengalihkan kepalanya.  Nabi s.a.w pun bertanya, "Kenapa kamu mengalihkan kepalamu daripada ribaanku".  Jawab Sa'labah, "Kerana aku terlampau berdosa".Kemudian Nabi s.a.w bertanya lagi "Apakah yang kamu inginkan?".  Jawabnya "Aku hanya inginkan keampunan daripada ALLAH SWT.  

     Selepas itu, Jibril pun turun memaklumkan kepada Nabi s.a.w bahawa ALLAH SWT berkata, "Sekiranya dia ini datang kepadaKu dengan dosa yang sebesar bumi sekalipun, maka Aku akan memberi sebesar bumi juga keampunanKu".  Perkara ini pun diberitahu kepada Sa'labah dan ketika  itu juga  dia meninggal dunia.

        Ketika menghantar jenazahnya ke kubur, sahabat melihat Nabi s.a.w berjalan berjinjit-jinjit (berjalan dengan hujung jari kaki).  Sahabat bertanya mengapa Nabi s.a.w berjalan sebegitu rupa.  Baginda pun menjawab, "Kerana terlalu ramainya malaikat yang bersama-sama tadi, lalu aku takut terpijak kepak-kepak dan sayap mereka".




~ mari kita muhasabah diri ~